Kawalan sempadan Kedah ditingkat elak suspek tembak di KLIA lolos

Kawalan sempadan Kedah ditingkat elak suspek tembak di KLIA lolos

Mohd Ridzzuan Mohd Zain (kiri) meninjau pengoperasian di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Imigresen (JIM) Kedah meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di semua 10 pintu keluar masuk antarabangsa di negeri itu bagi memastikan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lolos.

Pengarahnya, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, semua maklumat termasuk gambar suspek telah diedarkan kepada semua petugas di pintu antarabangsa termasuk  di laluan darat, udara dan laut.

“Kita dalam keadaan bersiap sedia dengan pemeriksaan ke atas semua pengembara akan dilakukan secara teliti. Pengesanan ke atas suspek akan dibuat berdasarkan nombor pasport antarabangsanya.

“Sekiranya suspek dikesan, kita akan menahannya untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga bersedia daripada semua aspek termasuk kemungkinan suspek menggunakan pasport palsu dengan melakukan saringan pemeriksaan berdasarkan pasport, biometrik dan visual.

“Semua pegawai imigresen telah diberikan makluman berhubung identiti suspek yang mana setakat ini lelaki itu belum dikesan cuba melalui sempadan negara melalui negeri ini,” ujarnya.

Kata Mohd Ridzzuan, JIM negeri juga bekerjasama dengan pihak imigresen Thailand sekiranya mengesan suspek di negara itu.

Sementara itu, beliau berkata, suspek didapati melakukan banyak pergerakan ke luar negara dan pernah melalui sempadan Bukit Kayu Hitam ke negara jiran pada Februari lalu.

“Kita dimaklumkan suspek menjalankan perniagaan melibatkan jemaah umrah,” tambahnya.

Akhbar melaporkan seorang pengawal peribadi kepada Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak seorang lelaki dalam kejadian di KLIA Terminal 1, awal pagi semalam.

Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun itu kemudian melarikan diri dipercayai menuju ke arah ke utara.

Susulan itu, pihak polis menggesa lelaki itu untuk menyerah diri secara baik di mana-mana balai polis.

Pihak polis turut menasihati orang ramai yang melihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa dan tidak bertindak bersendirian ekoran lelaki terbabit disifatkan sebagai berbahaya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN