KLANG: Pelbagai barangan bernilai keseluruhan RM14.6 juta dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daripada aktiviti penyeludupan dan cubaan mengelak cukai sepanjang Mac lalu dan awal bulan ini.
Barangan tersebut termasuklah, rampasan 8,174,976 juta batang rokok dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM6.07 juta dalam pemeriksaan berasingan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Utara dan sebuah rumah tidak berpenghuni di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 1 dan 3 April lalu
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua rokok tersebut ditemui di dalam dua buah kontena berasingan semasa pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah di dua pelabuhan itu.
“Bagi kes pada 1 April, anggota penguatkuasa menemui 6 juta batang rokok disyaki tidak diisytihar dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM4.62 juta di Pelabuhan Barat. Manakala untuk kes 3 April pula, sejumlah 2 juta batang rokok ditemui dengan nilai duti dan cukai bernilai RM1.34 juta di Pelabuhan Utara.
“Pada hari sama juga, JKDM merampas 174,976 batang rokok di dalam sebuah rumah tidak berpenghuni dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM117,800,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, hari ini.
Jelasnya, kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan, anggota kastam turut merampas 19,000 kilogram (kg) serbuk snuff tobacco dengan cubaan mengelak duti dan cukai sebanyak RM2.04 juta pada 4 April lalu.
“Serbuk ini ditemui di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Utara dan tidak mempunyai permit import yang sah. Kes ini masih lagi disiasat dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam,” ujarnya.
Dalam tempoh sama, kata Norlela, pihaknya turut merampas 137,020 unit pod cecair dan peranti rokok elektronik serta enam buah mesin pengilangan cecair rokok elektronik dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM505,700.
Menurutnya, kesemua barang tersebut dirampas dalam satu serbuan yang dibuat anggota penguatkuasa JKDM di sebuah premis di Seri Kembangan, pada 2 April lalu.
“Syarikat yang melakukan operasi di premis itu mendaftar perniagaan mereka sebagai pengedar dan menjual barang elektrik, namun melakukan kegiatan mengilangkan cecair rokok tanpa lesen eksais.
“Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam,” jelasnya. – UTUSAN










