BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dadah bernilai hampir RM1 juta yang ‘berselindung’ di sebalik bungkusan teh hijau Cina, awal bulan ini.
Pengarah Kastam negeri, Roselan Ramli berkata, ia susulan serbuan dan rampasan berkaitan yang dilakukan di kawasan perumahan sekitar Bukit Gambir, Gelugor dekat sini hasil maklumat awam.
Terdahulu katanya, satu pemantauan telah dilakukan di kawasan tersebut hasil kerjasama Cawangan Risikan dari Ibu Pejabat JKDM serta sepasukan pegawai Unit Narkotik di Bahagian Penguatkuasaan Kastam negeri.
“Selepas hampir lapan jam menunggu, didapati tiada sebarang pergerakan di kawasan terbabit sebelum satu pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Hasil pemeriksaan, kastam kemudiannya menjumpai dua buah beg plastik bercorak yang diletakkan di bawah pokok di dalam kawasan perumahan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut seterusnya menemukan sebanyak 30 bungkusan kecil yang dibalut dengan teh hijau Cina berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine seberat 30 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM966,976,” katanya.
Roselan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Stor Penguatkuasan JKDM di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 150,000 orang penagih jika terlepas ke pasaran gelap.
“Ketika ini, pihak kastam masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam sindiket ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Roselan menggesa orang ramai untuk membantu pihak kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya selain menasihatkan mereka agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.-UTUSAN










