KUALA TERENGGANU: Seorang juruwang wanita dikenakan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan berkhalwat, Januari lalu.
Tertuduh, Nurfifi Amira Nawi, 37, yang merupakan pesalah wanita pertama dikenakan hukuman sebat atas kesalahan berkhalwat di Terengganu turut berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Kanan, Rosdi Harun membuat keputusan itu hari ini setelah Nurfifi Amira mengaku bersalah mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat dengan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah di Taman Geliga dekat Kemaman sekitar pukul 3.15 petang, 31 Januari lalu.
Ketika kejadian, rumah itu didapati tertutup rapat serta berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu dan pemeriksaan mendapati tertuduh sedang berdiri di hadapan sebuah bilik.
Hasil pemeriksaan lanjut serta soal siasat menunjukkan hanya mereka berdua berada di dalam rumah dan tiada hubungan suami isteri atau mahram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman sebat ke atas Nurfifi Amira kerana ini merupakan kesalahan kedua atau berulang setelah didenda RM3,000 atas kesalahan sama pada 2018.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman pada 6 Mei nanti di Penjara Marang.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu pasangan tertuduh akan didakwa bagi tuduhan sama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April ini.
Sebelum ini pada Februari lalu, seorang lelaki yang juga buruh binaan menjadi pesalah khalwat pertama yang dikenakan hukuman sebat di negeri ini.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum sehingga enam sebatan, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuatkuasa 1 Januari lalu. – UTUSAN










