'Jimat berbelanja, bukan wang kamu pun'

‘Jimat berbelanja, bukan wang kamu pun’

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan kakitangan Kementerian Kewangan dalam Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya berjimat-cermat dalam berbelanja terutama semasa menganjurkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri.

Dalam hal ini, Perdana Menteri mahu Kementerian Kewangan menunjukkan contoh dan tidak perlu bersaing siapa lebih megah dalam penganjuran majlis itu.

“Saya mahu Perbendaharaan menunjukkan contoh. Janganlah kita bersaing siapa lebih megah dan bukan wang kamu pun.

“Kadangkala kita lupa, saya Perdana Menteri saya nak berbelanja apa salahnya, tapi saya fikir bukan wang saya.

“Apa ertinya saya tak ambil gaji tetapi saya boros berbelanja? Jadi untuk sambutan, sambutlah secara bersederhana,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengesahkan tiada majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, tahun ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan akan menyertai sambutan Aidilfitri yang dibuat di negeri-negeri oleh kementerian berkaitan.

“Untuk sambutan Aidilfitri, saya tidak buat majlis besar-besaran di Seri Perdana,” katanya.

Keputusan untuk tidak menganjurkan sambutan Aidilfitri di Seri Perdana bukan kali pertama diumumkan Anwar, malah sambutan itu juga tidak diadakan tahun lalu.

Tahun lalu, Anwar memutuskan untuk menghadiri Majlis Rumah Aidilfitri anjuran agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mendekati lebih ramai rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam tepat pada masanya selepas mengambil kira kos sara hidup yang meningkat ketika ini.

Katanya, masih ada penjawat awam di peringkat bawah yang mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup tambahan bagi memenuhi keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Malam (kelmarin), saya fikir (mengenai BKK itu) dan nak tidur pun terganggu. Jadi, saya fikir bagi sajalah sikit, kurang-kurang reda sikit (beban) dan kerja pun semangat. Harap kita belanja dengan cermat dan berhemah,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya, keputusan agihan bantuan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam bulan lalu tidak dapat menampung keperluan sedia ada.

Kata beliau, walaupun ia keputusan bijak, agihan itu tidak dapat menampung sehingga Aidilfitri kerana ia telah digunakan untuk keperluan perbelanjaan persekolahan anak.

“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis malah, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.

Kelmarin, beliau mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini selain bayaran RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Pada masa sama, Anwar menggesa semua agensi, badan berkanun kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.

“Kalau boleh bagilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, beliau juga menggesa institusi perbankan supaya membuat pertimbangan sama.

“Saya tak boleh bagi arahan kerana ia urusan mereka masing-masing tapi saya bagi gesaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×