Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli selamat dikebumi

Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli selamat dikebumi

SUASANA pilu menyelubungi tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang selepas jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli dikebumikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak, pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini kira-kira pukul 8.50 malam ini.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid sebaik sahaja van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, kira-kira pukul 7.41 malam.

Lebih 1,000 orang termasuk ibu bapa Muhammad Firdaus, adik-beradik, kenalan serta orang ramai menunggu di pekarangan masjid bagi menghadiri majlis pengkebumian tersebut dan ada dalam kalangan mereka yang mula berkumpul di situ sejak pukul 5 petang.

Turut kelihatan ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Sosial negeri, Lim Swee Khim dan lain-lain.

Jenazah Muhammad Firdaus disolatkan oleh Imam Harun Mahyudin di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar sebelum dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ketenteraan selepas solat Maghrib.

Sepasukan anggota tentera turut mengiringi jenazah yang kemudian diusung oleh pegawai penghormatan tentera ke tanah perkuburan.

Keranda membawa jenazah yang ditutupi dengan Jalur Gemilang kemudian diberikan tabik hormat oleh pegawai dan anggota tentera sebagai penghormatan terakhir.

Semalam, media melaporkan dua helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua 10 mangsa yang berada dalam kedua-dua helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika ini, TLDM pula dilaporkan sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN