‘Jangan kita ‘jual-jual’, lepas menang kita tidak ada’

‘Jangan kita ‘jual-jual’, lepas menang kita tidak ada’

AZALINA Othman Said (kiri) bersama Pang Sock Tao (dua dari kanan) di Restoran Sulaiman, Hulu Selangor. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: “Kalau kita nak jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kita kena fokus pada isu tempatan, jangan kita memperbodohkan rakyat, jangan kita ‘jual-jual’ (tapi) lepas menang kita tidak ada.”

Demikian nasihat  Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.

Menurut beliau, Sock Tao perlu berada di kawasan bagi memenuhi keperluan dan menyelesaikan masalah rakyat sekiranya dipilih menjadi ADUN selepas hari pengundian, 11 Mei ini.

“ADUN ini lain daripada Ahli Parlimen (yang fokus pada) isu Pusat (dan) nasional, ADUN (pula) isu tempatan. 

“Jadi saya beri dia (Sock Tao) nasihat bahawa juga perlu fokus isu tempatan (seperti) peniaga dan pelancongan,” katanya ketika menghadiri Program Singgah Santai di Restoran Sulaiman di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan;  Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau melihat Sock Tao mempunyai pengalaman dalam politik.

“Sekarang ini lebih kepada kesinambungan, saya tidak tengok isu agama (dan) bangsa (tetapi) saya tengok lebih kepada isu tempatan, kehendak masyarakat (kerana) pada12 Mei  ini merekalah yang akan hidup dengan wakil rakyat yang dipilih.

“(Jadi) harap-harap mereka pilih yang terbaik untuk mereka. Alhamdulilah Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh kerajaan PH (dan Barisan Nasional). Jadi dengan adanya wakil, insya-Allah lebih banyak kemajuan boleh diberi kepada pengundi di sini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN