PETALING JAYA: Jenama kasut tempatan, Vern’s yang terpalit dengan dakwaan memaparkan logo seakan kalimah Allah di tapak kasutnya akan dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Vern’s akan dipanggil pada pagi esok bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu yang berbangkit.
“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkan ia kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Semua pihak adalah dipohon untuk bertenang dan memberikan ruang kepada JAKIM dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan ini,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, kecoh dalam media sosial selepas seorang pengguna Mohd. Haridz mendakwa, logo dipercayai seakan kalimah Allah tertera di bahagian tapak kasut isterinya yang baru dibeli.
Menurut beliau, sepasang kasut berjenama Vern’s itu dibeli untuk isterinya bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Susulan itu ia menimbulkan kemarahan orang Islam terutama apabila isu sama terjadi tidak lama sebelum ini berkait dengan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah dan dijual di KK Super Mart.
Antara lain, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa syarikat tersebut memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam sekiranya tidak mahu produknya diboikot.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu tersebut.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya telah jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam,” tegasnya. – UTUSAN










