Isu hasut KK Mart: 'Biar polis nilai dan ambil tindakan' - Saifuddin.

Isu hasut KK Mart: ‘Biar polis nilai dan ambil tindakan’

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.- UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Biar pihak polis menilai keadaan dan mengambil tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Itu reaksi Saifuddin ketika ditanya adakah Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh termasuk dalam kelompok ‘penghasut’ berkait isu stoking tertera kalimah Allah yang dicetuskan KK Mart Sdn Bhd (KK Mart).

“Saya tak sebut (mengesahkan adakah Akmal termasuk dalam kelompok penghasut). ‘You are putting the word into my mouth’. Tak adillah untuk saya,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya tindakan segera diambil kepada pihak yang cuba menghasut rakyat terutama berkait isu KK Mart sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah, Jemaah Menteri juga senada dengan titah Tuanku itu serta mahu aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri semalam mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melihat trend bersifat menghasut, menganjurkan keganasan dan tindakan melampau yang boleh menjejaskan keamanan hasil daripada aktiviti menghasut.

Katanya, beliau akui wujudnya golongan yang kerjanya membangkitkan soal keresahan dalam bentuk hasutan yang melampau dan kemudiannya mencetuskan tindakan.

“Ini semua memerlukan pihak keselamatan (polis) untuk ambil tindakan. Jadi, itu perkara kita bincang semalam pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Media semalam melaporkan, Pengasas KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara, hari ini.

Tuanku bertitah supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.

Ditanya sama ada polis akan membuat laporan dan aduan susulan hantaran di media sosial memaparkan Akmal menghunus pedang, Saifuddin berkata, beliau tidak mahu mencampuri bidang kuasa polis.

“Saya percaya polis ada tindakannya sendiri berasaskan laporan atau mereka sendiri yang buat laporan. Saya tak mahu masuk dalam bidang kuasa polis.

“Saya percaya mereka (polis) ada kepakaran sendiri dan tahu apa yang mereka buat. Apa yang penting media bantu untuk tegaskan nasihat dan titah Tuanku yang tidak mahu isu ini berterusan. Itu yang penting sekali,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN