LARUT: Lebih 1,000 orang yang terdiri dari kalangan ahli keluarga, kenalan dan penduduk Rantau Panjang, Selama di sini menghadiri pengebumian jenazah Pegawai Waran II Nurfarahimi Mohd. Suandy, 41, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Damak Sungai Bayor, Selama di sini hari ini.
Jenazah Nurfarahimi, antara yang terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Lumut semalam, tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.50 malam.
Suasana sedih menyelubungi orang ramai yang hadir apabila keranda dibuka bagi memberi peluang terakhir untuk ahli keluarga menatap jenazah.
Anak sulung Allahyarham, Muhd Alif Farhan, 16, bersama adiknya, Nur Alwani Fatihah,12, tidak dapat menahan sebak sambil dipeluk oleh bapa mereka, Pegawai Waran I, Muhd Faizul Kameh ketika jenazah Allahyarham dibuka.
Muhd Alif Farhan juga turun ke liang lahad mengambuskan tanah setelah jenazah ibunya diturunkan.
Turut memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah serta Ahli Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamaruddin.
Talkin dibacakan oleh adik bongsu Allahyarham, Mohamed Amir.
Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 9 malam mengikut istiadat ketenteraan.
Istiadat penyerahan panji-panji kepada waris mangsa disempurnakan oleh Laksamana Pertama Shaiful Bahri Baharuddin.
Norfarahimi merupakan antara 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua buah helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam, ketika raptai Perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini. – UTUSAN










