PUTRAJAYA: Setelah lebih 15 tahun tertangguh akibat pelbagai isu semasa, Kedutaan Besar Indonesia yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur akan berpindah ke Putrajaya.
Perkara berkenaan disahkan oleh Duta Besar republik berkenaan, Datuk Hermono yang ditemui Utusan Malaysia ketika mengulas perkembangan canseri misi diplomatik tersebut.
“Sekiranya tiada apa-apa masalah berlaku, kemungkinan hujung tahun ini bakal diadakan majlis rasmi pecah tanah dan kita jangka siap menjelang dua tahun lagi,” jelasnya ringkas selepas menghadiri program sambutan Aidilfitri 2024 anjuran Kementerian Luar di Wisma Putra di sini hari ini.
Kerajaan Malaysia menawarkan sebidang tanah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Presint 4 yang berhadapan Anjung Floria Diraja sebagai tapak kedutaan baharu negara jiran itu.
Bagaimanapun, premis misi tersebut di ibu negara masih kekal untuk urusan imigresen dan tenaga kerja manakala bagi Putrajaya pula akan lebih kepada aspek politik dan kerajaan.
Pada ketika ini, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu memiliki sebuah sahaja canseri diplomatik asing iaitu Suruhanjaya Tinggi Brunei terletak di Presint Diplomatik.
Sementara negara-negara lain terus mengekalkan premis masing-masing di sekitar Kuala Lumpur atas alasan Putrajaya dari segi politiknya bukan pun bertaraf ibu negara Malaysia.
Hermono namun enggan mengulas lanjut mengenai projek kedutaan baharu itu tetapi membayangkan ia siap menjelang pembukaan ibu negara baharu Indonesia di Nusantara.
“Saya menjangkakan apabila siap fasa pertama IKN (Ibu Kota Nusantara) pada 2027 kelak, maka premis diplomatik Indonesia di sini juga boleh pula diduduki nanti,” kata beliau.
Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, beliau dipercayai merujuk langkah Malaysia yang turut akan bertindak memindahkan serentak kompleks kedutaan dari Jakarta ke Nusantara.
Baru-baru ini, Duta Besar Malaysia ke republik berkenaan, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin berkunjung ke ibu kota baharu itu dipercayai meninjau lokasi kedutaan negara ini. – UTUSAN










