GEORGE TOWN : Ibu kepada Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut tidak menyangka pertemuan dengan anak sulungnya di Manjung, Perak, Isnin lalu adalah yang terakhir.
Indon Hussin, 60-an berkata, memang menjadi kebiasaan bagi dia dan suaminya, Ramli Abd. Hamid, 60-an setiap bulan untuk ke rumah milik Muhammad Firdaus di Manjung kerana mereka memegang kunci rumah berkenaan selepas anaknya berpindah ke Sabah.
“Tiada perubahan ketara ketika kami bertemu di rumahnya pada Isnin lalu. Selepas dia sampai di pangkalan TLDM di Lumut, dia terus datang bertemu kami.
“Dia seperti biasa sahaja, dia peluk saya dan suami sebelum kami pulang ke Pulau Pinang. Dia hanya pesan: ‘Mama, bapa balik elok-elok, hati-hati,'” katanya yang ditemui di rumah mereka di Pantai Jerejak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, seramai 10 kru dilaporkan terkorban dalam nahas dua helikopter milik TLDM yang bertembung di udara sewaktu raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
Mengulas lanjut, Indon berkata, dia dan suaminya juga sempat menyambut Aidilfitri bersama Muhammad Firdaus pada raya ketiga dan keempat yang lalu di rumah anaknya itu di Manjung.
Katanya, Muhammad Firdaus yang lebih dikenali sebagai ‘Tuan Kecik’ dalam kalangan rakan sekerja memang bercita-cita untuk menyertai pasukan tentera sejak kecil lagi.
“Dia paling minat dengan pesawat pejuang. Dia sebenarnya mahu menjadi juruterbang jet pejuang, namun dia menyertai TLDM kerana saiz badannya yang lebih kecil.
“Dia juga amat tegas terutama dengan soal berkaitan masa sampai kadang-kadang kami beritahu dia bahawa kami ini orang awam dan bukannya tentera.
“Dengan rakan-rakan serta anak buah pun dia seorang yang amat baik. Semua orang yang kami jumpa bercakap perkara yang baik mengenainya,” katanya.
Indon berkata, sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, Muhammad Firdaus merupakan seorang anak yang amat bertanggungjawab serta abang yang penyayang kepada adik-adik yang lain.
“Dia anak yang paling baik. Semua anak yang lain pun bagus tetapi sebagai anak sulung, Muhammad Firdaus berjaya menjadi contoh yang baik kepada anak-anak yang lain.
“Walaupun dia tinggal jauh dengan kami, dia kerap menelefon dan bertanya khabar keluarga. Kalau saya batuk sekalipun, dia paling pantas bertanya mengenai keadaan saya,” katanya.-UTUSAN










