Hutan gelam seluas 9.5 hektar terbakar - Utusan Malaysia

Hutan gelam seluas 9.5 hektar terbakar

SEBAHAGIAN hutan gelam yang terbakar di Kampung Paya Rawa, Besut, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kawasan hutan gelam seluas 9.5 hektar terbakar di Kampung Paya Rawa di sini, sejak tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.34 petang.

Susulan itu, katanya, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian didapati kebakaran tersebut telah merebak hampir 50 meter dari kawasan perumahan berdekatan.

“Susulan itu bomba telah melalukan teknik pemisah api’ bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Rawa di sini hari ini.

Muhammad Azrul Izzham berkata, cuaca panas dan kering serta angin kencang menyebabkan api merebak lebih cepat.

“Setakat ini sebahagian kawasan yang terbakar itu telah berjaya kita padamkan dan anggota kita juga sentiasa memantau keadaan semasa bagi mengelakkan berlakunya kebakaran baru di lokasi berdekatan,” katanya.

Katanya, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihat orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka di musim panas bagi mengelakkan kebakaran berskala besar. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN