KUALA LUMPUR: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menganjurkan Himpunan Hari Al-Quds Antarabangsa Jumaat ini bagi menuntut keadilan dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Jurucakapnya, Tian Chua berkata, perhimpunan tersebut diadakan di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini diikuti dengan perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi penyerahan memorandum bantahan.
Katanya, Hari Al-Quds adalahg hari mobilitasi global sebagai tanda solidariti dengan perjuangan pembebasan Palestin.
“Hari Al-Quds kali ini diraikan di tengah-tengah genosida yang sedang berlangsung yang mana tentera Israel telah membunuh lebih 30,000 penduduk di Gaza dan kebanyakan daripadanya adalah wanita serta kanak-kanak.
“Kami menuntut sekeras-kerasnya perjanjian gencatan senjata secara kekal dan segera dengan penyelesaian yang adil serta tindakan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan genosida Israel.
“Diharapkan Kerajaan Malaysia juga meningkatkan usaha antarabangsa untuk menyokong pembebasan Palestin sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Setiap tahun, Hari Al-Quds Antarabangsa berlangsung secara serentak di seluruh dunia pada Jumaat minggu terakhir Ramadan dan mula diraikan sebahagian besar negara Islam sejak 40 tahun lalu.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat), Syed Sheikh Al Attas Syed Hassan berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu padu menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin sebagai tanda sokongan kepada mereka.
“Ini adalah program yang dijalankan saban tahun dan diadakan secara tradisi selama hampir 40 tahun, jadi kita sangat mengharapkan rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama untuk bersama-sama menyatakan solidariti dalam himpunan ini.
“Siri keganasan rejim Zionis tidak pernah berhenti tanpa mempedulikan suara antarabangsa dan ia seharusnya mengundang sensitiviti kita untuk lebih bangkit dan keluar menyatakan dukungan tanpa berbelah bahagi kepada rakyat Palestin,” katanya. –UTUSAN










