Guna Akta Hasutan untuk keharmonian negara

Guna Akta Hasutan untuk keharmonian negara

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa boleh menggunakan Akta Hasutan 1948 pada bila-bila masa jika didapati kecenderungan untuk ‘menghasut’ seperti terkandung di bawah Seksyen 3, namun  harus diteliti dengan cermat. 

Peruntukan yang disebutkan ialah Akta Seksyen 3 1E iaitu mengembang perasaan niat jahat dan permusuhan antara berlainan agama, budaya dan sebagainya yang sesuai dengan isu semasa iaitu syarikat KKMart. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Akta Hasutan ini perlu dipakai dengan cermat kerana mempunyai sifat yang dihala tujukan kepada satu pihak yang berucap, menulis dan pihak yang mewujudkan lambang. 

“Baru-baru ini kes KKMart mengenai lambang Allah. Pada saya itu kecenderungan menghasut tetapi tidak diambil tindakan dari sudut itu dan hanya diambil tindakan  terhadap orang yang berucap. 

“Penguatkuasa perlu bersifat lebih neutral dan tidak seharusnya menunduk diri apabila kerajaan yang memerintah membuat sesuatu kerana mereka perlu berlandaskan kepada seksyen yang ditetapkan dengan jelas,” katanya ketika dihubungi. 

Menurut Rais, ada beberapa undang-undang lain disyorkan seperti Undang-Undang Kanun Jenayah atau ‘Panel Code’ dan juga Kanun Akta Berhubung dengan Ketenteraman Awam.

Ini kerana, tidak semestinya perlu menerusi Akta Hasutan kerana Akta Hasutan ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana memerlukan justifikasinya di mahkamah.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan Kabinet memberi persetujuan untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan bagi mengekang provokasi terhadap isu kaum, Raja dan agama (3R).

Akta Hasutan yang diperkenalkan sejak 1948 sebenarnya mengalami beberapa kemas kini, termasuk satu pindaan signifikan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Ini bermakna akta ini mempunyai asas untuk membina keamanan dan mewujudkan mekanisme perundangan dapat mengelakkan berulangnya situasi rusuhan, pergaduhan atau ancaman pengganas.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Akta Hasutan memang ada tetapi terpulang kepada pihak berkuasa sama ada sesuai atau tidak digunakan selepas mengambil kira situasi keadaan yang berlaku.

“Saya rasa ini tindakan yang penting kerana perlu hantar satu mesej kepada rakyat bahawa pihak berkuasa tidak akan kompromi untuk menjejaskan keharmonian negara. 

“Mereka boleh memberi justifikasi mengapa satu akta itu digunakan kerana tujuan utamanya adalah untuk menyatupadukan rakyat dan menyumbang kepada perpaduan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN