PETALING JAYA: Kerajaan digesa memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang disifatkan sebagai undang-undang lapuk tinggalan penjajah British yang tidak lagi sesuai digunakan di negara ini.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, akta berkenaan merupakan antara undang-undang era kolonial yang wajar diberikan perhatian serius susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keperluan memansuhkan undang-undang penjajah.
Katanya, Akta Hasutan 1948 terus menerima kritikan kerana memberi kesan negatif terhadap kebebasan bersuara dan didakwa pernah digunakan untuk pendakwaan bermotifkan politik.
“Saya sentiasa berpandangan bahawa Akta Hasutan merupakan tinggalan British yang lapuk, ketinggalan zaman dan zalim serta perlu dimansuhkan.
“Langkah sama telah diambil oleh beberapa negara lain termasuk United Kingdom (UK) yang memansuhkan Akta Hasutannya pada 2009 dan Singapura pada 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal berkata, antara kebimbangan utama terhadap akta tersebut ialah niat seseorang tidak diambil kira dalam menentukan sesuatu kesalahan.
Katanya, sebarang kenyataan atau kritikan yang mempunyai kecenderungan menghasut boleh dianggap sebagai hasutan tanpa mengambil kira niat individu yang mengeluarkannya.
“Justeru, seseorang mungkin benar-benar percaya bahawa kata-katanya mempunyai asas, namun kepercayaan itu tidak relevan sekiranya kenyataan tersebut mempunyai kecenderungan menghasut seperti yang ditakrifkan di bawah akta berkenaan,” katanya.
Ramkarpal berkata, Akta Hasutan diperlukan pemerintah British ketika era penjajahan untuk membungkam suara penentangan demi menjaga kepentingan mereka.
Namun, beliau berkata, selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, kerajaan kini mempunyai peluang untuk melakukan perubahan lebih baik dengan memansuhkan akta tersebut sepenuhnya.
“Akta ini tidak lagi mempunyai tempat di negara yang kita cintai dan saya menggesa kerajaan memansuhkannya selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama,” katanya.
Pada masa sama, Ramkarpal mencadangkan undang-undang era kolonial atau sebelum merdeka termasuk Akta Keterangan, Kanun Keseksaan dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 dikaji semula.
Menurut beliau, peruntukan yang lapuk perlu dimansuhkan atau digantikan dengan undang-undang yang mengambil kira realiti semasa termasuk pengaruh besar kecerdasan buatan (AI).
Katanya, walaupun Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan atau mengubah suai undang-undang sebelum merdeka yang tidak selaras dengannya, kuasa tersebut hanya digunakan menerusi permohonan individu.
“Tanpa permohonan sedemikian, undang-undang sebelum merdeka akan terus berkuat kuasa sehingga dimansuhkan atau dipinda secara jelas oleh Parlimen.
“Sehubungan itu, sudah tiba masanya kajian menyeluruh dilakukan terhadap semua undang-undang era kolonial atau sebelum merdeka bagi tujuan pemansuhan atau pindaan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi kerajaan,” katanya. – UTUSAN










