GEORGE TOWN : Dua buah gerai termasuk sebuah gerai menjual nasi tomato popular di Batu Lanchang, di sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Turut musnah dalam kebakaran itu ialah tiga buah motosikal yang secara kebetulannya diparkir tidak jauh dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.37 pagi itu.
Menurut Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, A’azelan Hassan, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Ketika tiba, didapati peratusan keseluruhan kemusnahan bagi kedua-dua buah gerai yang terlibat adalah sebanyak 70 peratus.
“Sementara itu, motosikal-motosikal yang turut terbakar dalam kejadian tersebut iaitu jenis Yamaha NVX,Honda EX5 dan SYM E-Bonus pula masing-masing dianggarkan mengalami peratusan kemusnahan antara lima hingga 90 peratus,” katanya di sini hari ini.
A’azelan memberitahu, pihak bomba kemudiannya membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.52 pagi dan telah dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.59 pagi.
“Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat ketika ini,” kata beliau.-UTUSAN










