KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama pemancing di Pantai Seberang Takir di sini gempar dengan kehadiran seekor buaya yang muncul di benteng pemecah ombak di pantai itu, hari ini.
Ia susulan tularnya sebuah video di Facebook yang dirakam pada pukul 7.44 pagi oleh seorang individu yang memaparkan kemunculan ‘sang bedal’ itu.
Video berdurasi 38 saat itu mula dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama ‘Ayie Jer Anglers’ setelah memperolehinya daripada media sosial WhatsApp.
“Saya pun tak pasti siapa pemilik sebenar video itu, cuma yang pasti kemunculan buaya tersebut memang dirakam pagi tadi berdasarkan bukti dari jam tangan pemilik video.
“Tujuan saya adalah untuk mengingatkan orang ramai terutama rakan pemancing agar lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kebanyakan pengguna Facebook meninggalkan komen mengenai kebimbangan mereka terhadap ancaman keselamatan memandangkan buaya itu masih belum ditangkap.
Mereka berharap, buaya itu dapat ditangkap segera oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan dilepaskan semula ke habitat asalnya yang lebih jauh dari manusia.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Mohd. Hakimi meninggalkan komen yang mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada terutama pada waktu malam dan pagi.
“Bahaya tu, ye (buaya) sesat, malam-malam dan pagi Subuh, buaya dok bira (tepi) batu dan tepi pantai, hati-hati saing sobat (sahabat) yang mencari rezeki di kawasan itu,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Dan Zie pula melahirkan kerisauannya dengan keselamatan orang ramai yang pergi mencandat sotong ketika ini.
“Bahaye kalu org gi candat sotong naik peber (bot fiber) horr,” tulisnya. – UTUSAN










