Gaji penjawat awam: Ada sesuatu yang positif – KSN

Gaji penjawat awam: Ada sesuatu yang positif – KSN

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan ada sesuatu yang positif dalam penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, jaminan itu setelah pihaknya memberitahu bahawa kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berada di peringkat akhir, sudah dimuktamad bagi meningkatkan kadar gaji penja­wat awam.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak tertentu yang menuntut beberapa penambahbaikan supaya menunggu sehingga bulan depan kerana beliau percaya, penambahbaikan itu baik untuk semua pihak.

“Insya-Allah, ada sesuatu yang positif untuk penjawat awam. Tetapi, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu mendahului Perdana Menteri yang akan membuat pe­ngumuman ini.

“Apapun, ia sudah dimukta­mad dan ia bagi saya adalah positif. Jadi, kena tunggu Perdana Menteri,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

Pada Jumaat lalu, Anwar selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 memberitahu, cadangan penambahbaikan termasuk usaha me­ningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam yang akan diumum pada 1 Mei ini.

“Saya ingin tegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia,” katanya.

SSPA yang baharu itu sebelum ini dijangka diumum sebelum akhir tahun ini, selepas 10 tahun gaji kakitangan kerajaan tidak dinaikkan yang mendorong pelbagai pihak terutama kesatuan perkhidmatan awam supaya kerajaan membuat pembaharuan.

Anwar ketika membentang Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober tahun lalu dilaporkan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, kenaikan gaji minimum penjawat awam sehingga RM1,800 merupakan antara ha­rapan utama Kongres Kesatu­an Pekerja-Pekerja di Dalam Per­khidmatan Awam (CUEPACS) da­lam pengumuman perdana men­teri tidak lama lagi.

Selain tuntutan gaji minimum RM1,800, CUEPACS sebelum ini merayu kerajaan melaksana se­gera tuntutan menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×