Gaji jururawat Malaysia antara terendah di ASEAN

Gaji jururawat Malaysia antara terendah di ASEAN

KERAJAAN perlu mempertimbangkan secara serius cadangan untuk membawa masuk jururawat asing ke Malaysia kerana ia memberi kesan yang besar terhadap ekonomi, rakyat serta negara ini.-UTUSAN/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji bulanan jururawat Malaysia lebih rendah berbanding rakan sejawatan di Kemboja, Vietnam dan Filipina yang saiz ekonomi mereka lebih kecil berbanding negara ini.

Berdasarkan tinjauan terbaharu gaji jururawat antara negara ASEAN, Laos menawarkan gaji terendah dengan RM973.34 diikuti Myanmar (RM1,182), Indonesia (RM1,400) dan Malaysia (RM1,800).

Gaji jururawat di Vietnam ialah RM2,582 manakala Filipina RM2,729 dan Kemboja pula RM3,032 sebulan.

Laporan dikeluarkan laman sesawang Worldatlas.com pada 2022 menunjukkan pendapatan kasar per kapita Malaysia adalah RM47,782 berbanding Kemboja (RM8,372), Vietnam (RM11,365) dan Filipina (RM14,589).

Pendapatan di negara lain terma­suk Singapura yang menawarkan gaji bermula RM8,777.95 menarik perhatian rakyat Malaysia sehingga mereka melepaskan tanggungjawab menabur bakti di tanah air sendiri.

Saaidah Athman

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman berkata, memandangkan gaji permulaan jururawat kakitangan awam mengikut skim kerajaan, maka secara umumnya mereka menerima gaji pokok sebanyak RM1,800 tidak termasuk elaun-elaun lain.

Justeru, beliau berkata, gaji permulaan jururawat kerajaan perlu dinaikkan lebih RM2,000 berbanding sekitar RM1,800 selain mewujudkan elaun-elaun baharu seperti syif dan makanan seperti amalan negara lain.

“Kita mengakui kewujudan penghijrahan petugas kesihatan termasuk jururawat daripada Kementerian Kesihatan dengan mencari peluang kerja di luar negara.

“Tawaran gaji dan imbuhan berganda di negara lain menarik rakyat Malaysia sehingga mereka melepaskan tanggungjawab menabur bakti di tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan kekoso­ngan jururawat di Kementerian Kesihatan meningkat 10 hingga 40 peratus dalam tempoh empat tahun bermula negara dilanda pandemik Co­vid-19.

Berdasarkan jawapan Kementerian Kesihatan di Dewan Rak­yat pada bulan lalu, terdapat 2,106 kekosongan jururawat pada 2020 dan angka itu meningkat kepada 2,224 (2021) dan 4,420 (2022) dan terkini, 6,896 pada 2023.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui wujud penghijrahan petugas kesihatan termasuk jururawat daripada Kementerian Kesihatan dengan mencari pe­luang kerja di luar negara.

Antara faktor kekoso­ngan tersebut adalah tekanan persekitaran tempat kerja dan gaji rendah sehingga ra­mai petugas mengambil ke­putusan berhenti kerja sekali gus menyumbang kepada kekosongan jawatan jururawat sejak 2020 hingga 2023.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Saaidah ber­­kata, kekosongan jawatan jururawat berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya ramai memilih berhenti kerja untuk mencari gaji lebih tinggi, cuti bersalin dan ada menyambung belajar serta kewujudan perkhidmatan baharu seperti pertambahan unit dan wad di klinik serta hospital.

Katanya, keadaan itu menye­babkan terdapat jururawat di hospital kerajaan kini terpaksa bekerja lebih masa dan dipanggil bekerja ketika waktu bercuti ekoran kekurangan petugas barisan hadapan itu di seluruh negara.

“Isu daripada ramai berhenti itu juga menyebabkan baki jururawat yang terpaksa bekerja le­bih masa mungkin bermula dari pukul 7 pagi sehingga 9 malam. Ada juga dipanggil bekerja ketika bercuti.

“Masalah ini mencetuskan burnout kepada para jururawat sehingga ada yang memilih untuk bersara awal,” katanya.

Saaidah berkata, masalah ke­kurangan jururawat menyebabkan nisbah terkini jururawat de­ngan pesakit di Malaysia adalah 1:300 berbanding sasaran nisbah 1:200 seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau menyifatkan isu tersebut sebagai masalah serius yang wajar ditangani kerajaan dan Kementerian Kesihatan kerana boleh mengakibatkan kesesakan hospital selain pesakit terpaksa menunggu giliran lebih lama.

“Kekurangan jururawat ini perlu ditangani dengan serius oleh kerajaan. Jika tidak, kita bakal mengulangi situasi Co­vid-19 yang mana masalah tersebut menyebabkan beban berganda da­lam kalangan petugas kesihatan,” katanya.

Perbandingan gaji jururawat negara ASEAN:

1. Laos RM973.34

2. Myanmar RM1,182

3. Indonesia RM1,400

4. Malaysia RM1,800

5. Vietnam RM2,582

6. Filipina RM2,729

7. Kemboja RM3,032

8. Thailand RM3,518

9. Singapura RM8,777

10. Brunei RM10,752

UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN