Filem Sheriff dapat lampu hijau PDRM, LPF - Utusan Malaysia

Filem Sheriff dapat lampu hijau PDRM, LPF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Shariff: Narko Integriti, Datuk Yusof Haslam, memaklumkan naskhah terbaharunya itu telah pun dinilai dan mendapat kelulusan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yusof turut meluahkan rasa lega kerana pihak PDRM begitu terbuka walaupun filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu mengkritik sisi gelap dunia polis di layar perak.

“Mesej yang ingin dibawakan oleh cerita ini bagus. Kami yakinkan pegawai di PDRM bahawa zaman sudah berubah lebih-lebih lagi dengan kehadiran YouTube dan media sosial. Kita tidak boleh sorok sisi gelap.

“Ada beberapa pindaan yang kita lakukan hasil nasihat daripada PDRM namun tidak menjejaskan idea asal dan jalan cerita. Kita perlu ada anjakan dalam industri kalau nak berubah.

“Bila sudah siap, kami hantar ke LPF, mereka bersetuju dengan perubahan ini. Nak puaskan hati, kami turut panggil pegawai daripada Bukit Aman termasuk unit narkotik bagi memberikan pandangan.

“Alhamdulillah, semuanya positif. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PDRM,” katanya.

Yusof ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Sheriff: Narko Integriti, baru-baru ini.

Sepanjang 40 tahun menghasilkan cerita dengan genre kepolisian, pengarah Gerak Khas itu mengakui bahawa subjek filem ini jauh lebih berat dan mencabar.

“Kalau zaman dahulu, pihak polis akan semak skrip. Tak boleh langsung tonjol sisi gelap.

“Filem kali ini subjeknya lebih berat. Saya bercakap dengan anak saya yang juga pengarah, Syafiq Yusof tentang kos pembikinan.

“Memang ada tersasar sedikit daripada bajet asal kerana kita bina set balai polis. Kilang dadah yang anda tonton dalam filem ini ialah sebuah gudang yang kami sewa sehingga sebulan dan menelan belanja ratusan ribu ringgit,” jelasnya.

Filem Sheriff yang menelan belanja 6 juta ringgit ini merupakan usahasama dua penerbit gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw. Ia menceritakan tentang Nazri lakonan Syafiq Kyle yang ingin menumpaskan tokan dadah, Tony Ifrit lakonan Aaron Aziz.

Filem dengan klasifikasi umur 16 tahun ke atas ini sudah mula ditayangkan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya