Bayi perempuan sembilan bulan maut dipercayai didera - Utusan Malaysia

Bayi perempuan sembilan bulan maut dipercayai didera

BALVEER SINGH MAHINDAR SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan tentang perkara itu daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada pukul 6.55 petang, Khamis lalu.

“Menurut laporan berkenaan, bayi tersebut telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disyaki didera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 3.50 pagi, Jumaat lalu. Hasil bedah siasat mendapati wujud elemen jenayah dalam kematian bayi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beberapa individu telah ditahan, namun pihak polis masih mengesan ibu bayi malang berkenaan yang merupakan warga Vietnam.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dibuat terhadap dua rakan ibu mangsa yang merupakan warga asing, seorang lelaki tempatan dipercayai teman lelaki ibu mangsa dan pasangan suami isteri warga tempatan yang merupakan pengasuh bayi berkenaan.

“Kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 42 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini Khamis lalu setelah polis menerima laporan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula Jumaat lalu dan akan disambung reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×