PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia sejak November tahun lalu dijangka beransur pulih berikutan permulaan fasa peralihan monsun.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa itu dijangka berterusan hingga Mei hadapan dan ia menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, semasa fasa itu, rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah menjadikan ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang di kebanyakan kawasan.
“Kejadian itu berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini juga berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Selain itu, Met Malaysia turut mengeluarkan amaran cuaca panas melebihi 35 darjah celcius di beberapa negeri termasuk Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, negeri tersebut diramal berada pada cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) iaitu suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Antara kawasan yang terlibat di negeri Kelantan adalah Jeli dan Gua Musang, di Negeri Sembilan pula Jelebu, Jembol dan Tampil manakala di Pahang adalah Raub, Temerloh, Maran dan Bera,” katanya. –UTUSAN










