Empat termasuk dua wanita ditahan disyaki bantu lelaki Israel

Empat termasuk dua wanita ditahan disyaki bantu lelaki Israel

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan empat individu termasuk dua wanita yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Johor, kelmarin dipercayai membantu suspek lelaki Israel dikenali Shalom Avitan bagi menyeludup masuk enam senjata api ke negara ini yang dibeli di Thailand.

Keempat-empat individu berusia 28 hingga 41 tahun itu ditahan di Skudai dan Gelang Patah, Johor dalam Operasi Shalom oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dibantu JSJ Kontinjen Johor.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya kesemua suspek telah terlibat dalam urusan menyeludup masuk enam senjata api yang dibeli oleh pasangan suami isteri yang ditahan sebelum ini di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar mereka.

“Kesemua mereka ditahan di Skudai dan Gelang Patah di Johor antara pukul 7.20 hingga 7.45 malam.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas lima telefon bimbit dan sebuah kereta Ford Fiesta berwarna merah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Razarudin berkata, saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methampetamine.

“Tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau iaitu berkait kes dadah dan jenayah.

“Suspek wanita mempunyai lapan rekod lampau selain dikehendaki seorang lelaki (tujuh kes dadah) manakala seorang lagi satu kes dadah,” katanya.

Tambahnya, tiga suspek akan diserahkan kepada JSJ Dang Wangi untuk direman manakala suspek wanita direman di Johor Bharu berkait kes Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Penahanaan terbaharu itu menjadikan tangkapan keseluruhan berkaitan kes tersebut seramai lapan orang.

Dalam pada itu,  Razarudin berkata, pihaknya akan mendapat lanjutan perintah reman terhadap pasangan suami isteri berusia 41 dan 43 tahun yang kini direman selama tujuh hari.

“Reman kedua-dua mereka akan tamat hari ini jadi kita akan dapatkan perintah sambung reman.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati si suami (suspek) mempunyai 48 rekod lampau kes jenayah dan dadah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bayaran upah diterima pasangan suami isteri itu bagi membekalkan senjata kepada lelaki Israel terbabit, beliau percaya mereka menerima sejumlah wang dianggarkan ribuan ringgit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap mereka,” ujar beliau.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar lelaki Israel berusia 38 tahun itu ke negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, ia termasuk dakwaan lelaki itu mencari penjenayah seteru atau dipercayai terlibat dengan ejen perisikan Israel.

Jumaat lalu, Razarudin mendedahkan seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan sebelum menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Suspek yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.

Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya dan siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Selain itu pasangan suami isteri berusia 41 dan 43 tahun yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pukul 7.30 malam, 29 Mac lalu.

Siasatan mendapati suspek memperoleh enam senjata api dan 200 peluru daripada pasangan suami isteri warga tempatan itu selain kedua-dua mereka mengakui telah menyerahkan empat pucuk senjata api kepada lelaki Israel itu.

“Pasangan itu telah membeli senjata api berkenaan di Thailand atas arahan seorang individu warga asing yang dikenali atas talian untuk diserahkan kepada seorang lelaki disyaki rakyat Israel itu.

Turut ditahan, seorang lelaki dipercayai pemandu suspek Israel sejak dia memasuk negara ini pada 12 Mac lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN