PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati membabitkan dua buah helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini.
Baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah, semoga ahli keluarga kepada mangsa-mangsa nahas tabah menghadapi dugaan ini.
Titah Sultan Sharafuddin Idris, baginda difahamkan bahawa kesemua 10 orang kru yang juga anggota TLDM meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
“Selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, beta ingin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM.
“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.
“Beta amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan bersemadi dengan aman. Sesungguhnya, ini adalah satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara,” titah baginda.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan 10 mangsa terkorban dalam kejadian dua helikopter milik TLDM bertembung di Stadium TLDM Lumpur, Manjung, Perak.
Menurut jabatan itu, dua helikopter milik TLDM iaitu M502-6 (FENNEX), dinaiki oleh tiga mangsa dan M503-3 (HOM), dinaiki oleh tujuh individu. – UTUSAN










