KUALA LUMPUR: “Perbuatan itu merupakan satu perbuatan politik yang kurang matang dan kotor.”
Ini reaksi Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengulas tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.21 juta di Kuala Kubu Bharu.
Jelasnya, peruntukan yang diberikan itu jelas akan mempengaruhi pergerakan undi di kawasan kerana disifatkan perbuatan itu sebagai membeli undi.
Terdahulu, media melaporkan, Kor Ming memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya untuk kesejahteraan penduduk.
Dalam perkembangan lain, bercakap dalam sidang media di Menara PGRM di sini, Dominic berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu mampu menjadi referendum kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kata beliau, kalah atau memang di PRK memang tidak akan mengubah kerajaan, tetapi ia mampu menjadi suara rakyat kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Referendum ini mampu menjadi suara ketidakpuasan hati rakyat khususnya warga Kuala Kubu Bharu terhadap isu-isu sekarang seperti harga barang naik, kenaikan cukai barang dan perkhidmatan (SST), isu beras dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN











