KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengambil maklum keadaan kesihatan pelakon dan penyanyi, Cico Harahap yang kini dilaporkan menghidap masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor sejak hujung Ramadan lalu.
Presidennya, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata, sebelum mendapat maklumat mengenai keadaan terkini Cico, Seniman tidak pernah mengabaikan tugas mengagihkan bantuan sumbangan kepada artis tersebut termasuk kepada ibunya yang juga penyanyi veteran, Uji Rashid.
“Seniman ambil maklum perkara ini. Bahkan, nama Cico selama ini pun tidak pernah tercicir daripada senarai penerima bantuan. Untuk pengetahuan, Cico memang seorang yang aktif sebelum ini dengan persatuan dan biasanya hadir bersama ibunya.
“Dia memang selalu ikut ibunya ke mana-mana. Cuma sejak dia sakit kurang aktif dengan kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, media tempatan melaporkan pelakon filem Puteri Impian dan Anak Mami The Movie itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat masalah tersebut yang turut memberi kesan kepada bahagian kakinya yang membengkak.
Selain itu, mengetahui mungkin ada pihak mahu menghulurkan sumbangan kepada Cico namun tidak tahu cara untuk menghubunginya, Zed berkata, Seniman mampu menjadi jambatan antara dua pihak demi tujuan tersebut.
“Kami juga tahu mungkin susah nak hubungi Cico atau bahkan ibunya memandangkan ramai berkata demikian. Kalau ada pihak yang nak bantu, boleh hubungi Seniman dan kami akan usahakan untuk tujuan itu.
“Memang ini adalah tugas persatuan. Sebelum ini pun, kami usahakan menjadi jambatan antara beberapa pihak yang mahu membantu Allahyarham Benjy.
“Matlamat kami adalah untuk mengurus dan menyampaikan amanah pihak yang ingin membantu mana-mana rakan artis yang susah dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Cico didakwa pernah mengalami penyakit misteri sejak beberapa tahun lalu sehingga memberi kesan kepada kesihatannya.
Pada 2016, Cico mengalami masalah kesihatan yang serius selepas diracun oleh rakan-rakannya ketika menghadiri sebuah majlis sambutan hari jadi salah seorang kenalannya.
Susulan itu, pelakon berkenaan sudah tidak lagi aktif bergiat dalam dunia hiburan akibat kejadian itu. – UTUSAN









