KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas seorang buruh atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita, dua tahun lalu.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Ridhwan Abdullah Hazam, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Ridhwan didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 24 tahun di Pantai Batu Buruk dekat sini kira-kira pukul 12.30 malam pada 16 April 2022.
Tertuduh dan mangsa dikatakan pertama kali berjumpa di lokasi berkenaan setelah berkenalan menerusi aplikasi WeChat.
Jika sabit kesalahan, Ahmad Ridhwan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh ditangkap iaitu 21 Oktober 2023.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Marlisa Marzuki. – UTUSAN










