Buka laluan segera, kehadiran treler ancam keselamatan penduduk

Buka laluan segera, kehadiran treler, lori ancam keselamatan penduduk

AZMAN Awang (kiri) dan Azmi Rahmat menunjukkan laluan sepanjang tiga kilometer ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin yang masih belum dibuka untuk kenderaan di Kampung Sungai Boh, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kelewatan pembukaan laluan dari Jambatan Su­ngai Pulai ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin menyebabkan ada treler dan lori gunakan laluan Kampung Sungai Boh sehingga mengundang bahaya kepada penduduk.

Penduduk mendakwa para pemandu yang kebanyakan orang luar hanya mengikut penunjuk arah apabila menggunakan aplikasi tanpa mengetahui jalan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Azman Awang, 58, berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dan kemarahan penduduk kerana kehadiran kenderaan terbabit menyukarkan pergerakan mereka.

Malah ada yang langgar tiang kabel telekom dan elektrik menyebabkan gangguan elektrik dan talian telefon termasuk di bangunan sekolah dan klinik desa.

“Jalan ini memang boleh sampai ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin tetapi kende­raan perlu melalui beberapa kampung termasuk Kampung Sungai Chengkeh, Sungai Dinar sebelum sampai ke jalan utama di Kampung Sungai Sam.

“Tetapi mereka juga tidak boleh sampai kerana ada sebuah jambatan yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan. Kende­raan berat ini perlu berpatah balik ke Jalan Kampung Sungai Boh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jalan sepanjang tiga kilometer selepas Jambatan Sungai Pulai adalah laluan yang dibina khas oleh pemaju Kawasan Perindustrian Tanjung Bin bagi memudahkan kenderaan berat se­perti lori tangki minyak dan treler melaluinya tanpa menggunakan jalan kampung.

Azmi Rahmat, 50, pula berkata, kelewatan pembukaan laluan itu meresahkan kira-kira 3,000 penduduk termasuk pengguna luar.

Walaupun kerja-kerja pembaikan dilakukan pemaju, jalan beralun berlaku semula akibat tidak mampu menampung kenderaan berat yang melaluinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN