Boleh musnahkan industri - Amylea Azizan - Utusan Malaysia

Boleh musnahkan industri – Amylea Azizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 40, mengakui rimas dengan lambakan kontroversi membabitkan selebriti yang sengaja dicanang-canangkan semata-mata untuk meraih publisiti atau populariti.

Kata Amylea, keadaan yang dilihat menjadi kebiasaan masa kini itu membuatkan dia kecewa dan beberapa kali terfikir untuk meninggalkan dunia seni tanah air.

“Macam dinormalisasikan, setiap kali seseorang artis itu nak jual atau promosi produk, termasuklah lagu, drama atau filem, mesti ditularkan dulu cerita kontroversi dan peribadi untuk menarik perhatian masyarakat terhadap produk berkenaan.

“Ibaratnya, kontroversi ini lebih penting berbanding produk seni yang diketengahkan artis tersebut. Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya, apa sebenarnya definisi artis pada masa sekarang. Sebab sekarang, artis pun ramai yang dah jadi pempengaruh media sosial.

“Kalau dulu, artis yang kita kenal adalah mereka yang hasilkan kerja seni, termasuk berlakon, menyanyi, cipta lagu dan sebagainya. Sekarang lain pula fahamannya,” katanya yang ditemui sewaktu acara Fun Run anjuran Asics, baru-baru ini.

Amylea diminta mengulas tentang lambakan kontroversi panas selebriti yang dijadikan pemudah cara untuk tujuan pemasaran kerja seni.

Kata Amylea, trend tersebut, berpotensi untuk memusnahkan industri seni tempatan kalau diteruskan dan tidak dikawal.

“Saya bersuara mewakili juga penggiat seni yang sependapat dengan saya. Kami langsung tak berdengki.

“Sebagai penyanyi dan pencipta lagu, kadang saya rasa usaha saya sia-sia apabila masyarakat lebih mahu mengikuti cerita kontroversi artis berbanding pencapaian dan kejayaan yang diraih.

“Sebab itu, kalau amalan ini (menjual cerita sensasi untuk popular) diteruskan, tak dikawal, nescaya ia akan membunuh industri seni kita,” kongsinya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×