KANGAR: Taklimat pembangunan negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena lawatan beliau ke Perlis hari ini menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di negeri ini.
Perbincangan selama satu jam itu dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar; barisan Exco kerajaan negeri serta ketua jabatan serta agensi kerajaan Pusat dan negeri.
Perbincangan tersebut menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis dan pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang.
Antara lain penyelenggaraan gerai dan kiosk di seluruh negeri ini.
Anwar berkata, Menteri Besar turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi projek Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Wang Kelian, mesin pengimbas di pelaburan darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan Perlis.
“Mengambil kira keperluan yang mendesak itu, saya meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi projek ICQS Wang Kelian untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.
“Saya juga sentuh mengenai potensi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran.
“Saya percaya jika ada usaha untuk mengatasi masalah ini, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis,” katanya. – UTUSAN











