Bina LRT di Langkawi, biarlah mereka berangan - Mahfuz - Utusan Malaysia

Bina LRT di Langkawi, biarlah mereka berangan – Mahfuz

MAHFUZ Omar bergambar bersama tetamu yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak salah untuk memasang impian membina perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kepimpinan negeri agar tidak hanya membuat pengumuman tanpa memastikan projek-projek yang telah diuar-uar sepi tanpa perkembangan.

Menurutnya, Muhammad Sanusi sepatutnya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama menyiapkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) terlebih dahulu yang menjadi keperluan mendesak rakyat negeri Kedah.

“Saya rasa tak salah nak berangan tapi buatlah bagi siap litar lumba, projek air (LRA) satu keperluan orang nak minum dan mandi. Kalau nak buat LRT dalam keadaan tak mandi jadi satu masalah pula bau busuk dalam LRT nanti.

“Bagi saya tak salah nak angan-angan tapi orang dapat menilai dia hanya Menteri Besar bersifat mengumumkan saja nak buat itu ini tapi satu benda pun tak nampak apa dia berjaya buat.

“Dulu kata nak siap litar lumba, kemudian LRA 2023 pun tak siap dan selepas itu kata lapangan terbang (KXP) penerbangan pertama semua dah atur tapi landasan tak tau ke mana,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD).

MoU itu bagi membolehkan satu kajian terperinci mengenai perkhidmatan LRT yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dapat dilakukan di Pulau Langkawi.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sistem pengangkutan di Langkawi tidak berada dalam keadaan mendesak sehingga memerlukan LRT disediakan kepada pelancong meskipun boleh menjadi tarikan baharu kelak.

“Langkawi dari hujung ke hujung berapa jauh sangat, biarlah kita beri peluang kepada pengusaha kereta sewa dan usahawan lain di Langkawi untuk cari makan yang mana itu lebih menjadi keutamaan.

“Malah jika dibandingkan antara Alor Setar dengan Langkawi saya rasa di sini lebih bersesuaian dan itu pun tidak menjadi keperluan mendesak untuk buat LRT.

“Jadi saya anggap lebih baik dia menyanyi menghiburkan ulama Pas kerana ia suatu hiburan kepada pemimpin Pas. Nak berzanji atau marhaban mungkin dia tak tahu, jadi dia boleh hiburkan pemimpin, ulama, Presiden Pas dengan nyanyian merdu yang lebih baik daripada dia berangan nak buat LRT kerana ia suatu yang tak masuk akal,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN