PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, 31, mengakui bukan mudah untuk mengekalkan imej bertudung yang dimulakannya sejak perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan ketika pandemik.
Kata penyanyi lagu Astana itu, pelbagai cabaran dilalui yang antaranya menguji keimanannya sebagai wanita Islam berhijab.
“Masya-Allah, besar dugaan wanita bertudung. Lebih-lebih lagi apabila saya terkenangkan rambut saya ketika zaman tidak bertudung dahulu.
“Keadaan itu bagaimanapun tidaklah sampai mempengaruhi saya untuk tampil free hair semula. Saya pun dah puas menggayakan pelbagai fesyen rambut, berambut palsu, pendek.
“Alhamdulillah, semoga sampai bila-bila saya begini. Takut sebenarnya nak bercakap lebih. Hati kita ini tak tentu keadaannya, saya hanya mendoakan. Insya-Allah,” ujarnya.
Ernie ditemui ketika pelancaran koleksi tudung Ayuwan bersama penyanyi tersebut baru-baru ini.
Ernie dalam masa yang sama turut mendoakan agar rakan-rakan artis yang membuka tudung agar dipermudahkan urusan dan diberi yang terbaik dari Allah S.W.T.
“Dalam agama kita dituntut tutup aurat. Tapi ia berbalik kepada pilihan masing-masing. Saya bertudung pun agak lewat, iaitu ketika umur saya mencecah 28, 29 tahun.
“Apa pun saya doakan yang tebaik dalam perjalanan mereka, sebab kita tak tahu apa yang mereka lalui.
“Bukan tempat saya untuk menetapkan syurga neraka seseorang,” jelasnya.










