Bekas Timbalan Pendaftar PTG Perak didakwa tipu status Tanah Rizab Melayu - Utusan Malaysia

Bekas Timbalan Pendaftar PTG Perak didakwa tipu status Tanah Rizab Melayu

ROSLI Che Mohamed dituduh menipu status Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan 12 tahun lalu ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, pesara kerajaan itu didakwa menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak iaitu dengan memperdaya agensi berkenaan untuk mempercayai bahawa tanah nombor hak milik PN 174770-174772, nombor Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung, Perak adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi hak milik PN174772, Lot 17527 kepada 317 plot seluas kira-kira 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn. Bhd. yang mana agensi berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui perkara tersebut tidak benar.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di PTG Negeri Perak, Bangunan Sri Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh pada 4 Januari 2012.

Bagi pertuduhan tersebut, Rosli didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Terdahulu, Maziyah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun Syahrul Nizam memohon jumlah jaminan minimum sebanyak RM3,000 atas alasan anak guamnya merupakan seorang pesara dan menghidap penyakit jantung yang memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) pada setiap enam bulan.

Menurut Syahrul Nizam, anak guamnya itu turut mempunyai tanggungan seorang anak perempuan yang masih belajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Jika jumlah jaminan tinggi diberikan, ia akan memberi kesan kepada anak guam saya dan tanggungannya, Jadi, pihak pembelaaan memohon jumlah jaminan minimum iaitu sebanyak RM3,000,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM yang terdekat tanpa gagal pada setiap bulan.

Kes disebut semula pada 30 Mei depan untuk serahan dokumen.

Menerusi laporan media, lelaki terbabit dipercayai melakukan kesalahan pada tahun 2012 dan ketika itu dia masih lagi merupakan seorang penjawat awam.

Difahamkan, tindakan lelaki itu telah menyebabkan keseluruhan tanah berkenaan dipecahkan dan dijual kepada bukan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN