Bekas pemandu lori derita sakit buah pinggang tahap 5

Bekas pemandu lori derita sakit buah pinggang tahap 5

MUIHAMMAD Jalani yang terlantar bergambar bersama Muhamad Nizam (berdiri kanan) dan anggota keluarga di rumahnya di Apartmen Sri Ixora di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pemandu lori, Muhammad Jalani Haron, 49, menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak pertengahan tahun lalu hingga menyebabkan dia perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Menurut isterinya iaitu seorang surirumah, Norami Mohamed Salim, 43, sejak terlantar lemah akibat penyakit tersebut, Muhammad Jalani terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori.

“Sekarang sumber pendapatan sebagai pemandu lori sebanyak RM2,200 sudah tiada. Suami berjaya mendapat pencen ilat sebanyak RM1,600 setelah disahkan tidak lagi mampu memandu lori.

“Kini saya perlu bekerja untuk menampung pendapatan keluarga yang terjejas. Anak saya lima orang berusia antara enam hingga 18 tahun dan ke­semuanya masih bersekolah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Apartmen Sri Ixora Seksyen 27 semasa lawatan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 10, Muhamad Nizam Kamjan, di sini baru-baru ini.

Norami berkata, walaupun pangsapuri tersebut milik sen­diri, namun ia masih mempunyai baki hutang pinjaman perumahan dan ia perlu dijelaskan setiap bulan dengan kadar RM600.

Selain itu katanya, separuh kos dialisis perlu ditanggung oleh pihaknya dan separuh ditanggung pihak Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso).

Mengulas lanjut Norami yang sebelum ini bekerja di kantin sekolah berkata, dia berharap dapat membuka perniagaan secara ke­cil-kecilan menjual burger de­ngan bantuan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Muhamad Nizam berkata, pihaknya prihatin dengan masalah menimpa keluarga tersebut dan akan membantu untuk merealisasikan hasrat Norami untuk berniaga burger bagi menambah pendapatan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Muhammad Jalani boleh menyalurkan ban­tuan ke akaun Maybank 168612021278 atas nama Norami Binti Mohamed Salim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN