Bawa juadah berbuka guna tenong tarik perhatian ramai - Utusan Malaysia

Bawa juadah berbuka guna tenong tarik perhatian ramai

SEBAHAGIAN ahli Kawat dan keluarga berbuka puasa berkonsepkan tradisi Melayu di Dataran Payang Walk, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) mengambil inisiatif menganjurkan program berbuka puasa dengan membawa juadah menggunakan tenong bagi memartabatkan semula warisan budaya dan tradisi generasi terdahulu.

Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata, penggunaan tenong atau lebih dikenali sebagai mangkuk tingkat sangat popular di negara ini suatu ketika dahulu.

Menurutnya, menikmati hidangan tenong dalam majlis berbuka puasa itu dapat mengimbau semula kenangan sewaktu kecil sesiapa sahaja sekitar 1960-an hingga 1980-an.

“Lebih istimewa kerana semua pengamal media yang datang ke majlis ini duduk bersila sahaja di atas tikar di Dataran Payang Walk yang terletak di pinggir Sungai Terengganu.

“Amalan masyarakat zaman dahulu untuk bertukar-tukar juadah dalam tenong masing-masing juga dilakukan dalam majlis berbuka puasa kali ini, secara tidak langsung mengerat hubungan silaturahim antara pengamal media Terengganu,” katanya di sini, semalam.

Lebih 100 pengamal media  dari pelbagai agensi di Terengganu dan ahli keluarga.

hadir memeriahkan majlis berbuka puasa itu  yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris

Dalam majlis itu, Kawat menyediakan juadah utama yang sinonim dengan masyarakat Terengganu iaitu singgang daging, ikan bakar dan ulam-ulaman untuk semua tetamu yang hadir.

Sementara itu, Razali berkata, beliau bercadang menganjurkan majlis berbuka puasa berkonsepkan tradisi Melayu itu dengan lebih meriah dengan kerjasama Kawat pada tahun hadapan.

Menurutnya, konsep yang diketengahkan Kawat cukup menarik dan dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan Terengganu. 

“Acara tersebut sangat meriah dan boleh dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri selepas ini untuk menarik kunjungan pelancong ke negeri ini pada bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN