Baik pulih cerun Jalan Batang Kali-Genting siap 30 Jun 

Baik pulih cerun Jalan Batang Kali-Genting siap 30 Jun 

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kerja-kerja membaik pulih cerun di Jalan Batang Kali-Genting yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Disember 2022 dijangka siap pada 30 Jun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek yang menelas kos RM19 juta itu sudah memasuki fasa akhir iaitu lebih 86 peratus.

Menurut beliau, projek tersebur menghadapi kelewatan sebelum ini ekoran pihak kontraktor gagal menerima pembekalan bahan binaan ‘wall system’ (sistem dinding bertingkat) mengikut jadual ditetapkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun begitu, kontraktor memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.

“Jangkaan tarikh siap adalah pada akhir Jun ini termasuk dengan pembukaan semula laluan tersebut kepada semua pengguna jalan raya yang dijadualkan pada 1 Julai,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kemajuan Projek Baik Pulih Cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali-Genting, di sini hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan tersebut mengorbankan  31 nyawa yang berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, laluan tersebut yang ditutup sejak 29 Mei tahun lalu hanya dibuka kepada pengguna jalan raya yang bekerja di Kawasan Genting  dengan pengesahan surat majikan masing-masing.

“Saya harap sehari selepasnya kita buka (untuk digunakan oleh orang awam). Saya menetapkan 1 Julai untuk penggunaan orang awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN