'Anak datang cium saya dalam mimpi' - Utusan Malaysia

‘Anak datang cium saya dalam mimpi’

NORZALIFA Mohd. Yusof menunjukkan baju seragam sekolah yang dipakai Ahmad Zuhal dan Ahmad Marikh ketika kemalangan jalan raya semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Walaupun baru sehari pemergian dua anak lelaki kesayangan dalam kemalangan jalan raya, kerinduan seorang ibu bagaikan tidak tertanggung apabila membawa ke dalam mimpi.

Menurut Norzalifa Mohd. Yusof, 35, kehilangan dua anaknya iaitu Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh amat dirasai sehinggakan dia tidak mampu untuk tidur lena.

Malah katanya, kerinduan yang tidak bertepi itu menyebabkan dia seolah-olah merasakan kehadiran dua beradik itu dekat dengannya.

“Saya tidak boleh tidur, bila nak lena saya akan terbayangkan mereka. Semalam pun saya nampak dua beradik itu dalam mimpi.

“Adik datang cium saya dan abang pula minta maaf. Apabila tersedar saya cuba tidur semula namun terasa seperti ada tangan menepuk perlahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Salak Stesen di sini hari ini.

Norzalifa berkata, pakaian seragam sekolah dua anaknya yang dipakai pada hari kejadian kini menjadi pengubat rindu buat keluarga.

Katanya, pakaian dengan kesan darah itu dibawa pulang sebelum dibasuh pagi tadi.

“Inilah pakaian yang menjadi kenangan buat kami. Tidak sangka mereka berdua sudah tiada. Rindu sangat dengan keletah mereka.

“Sampai sekarang pun saya terbayang senyum dua beradik itu, tambahan lagi Marikh yang gemar membuat memek muka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai individu yang ditangkap bagi membantu siasatan kes kemalangan dua anaknya, Norzalifa berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap lelaki terbabit.

Katanya, tindakan lelaki itu memandu secara berbahaya menyebabkan dia kehilangan dua anak lelaki serentak pada ketika umat Islam lain sedang menantikan Aidilfitri.

“Saya tidak mahu tengok muka dia (pelaku). Perasaan ini geram kerana dua nyawa anak saya melayang. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima.

“Tapi nak buat macam mana, mereka pergi dalam bulan yang baik. Menangis macam mana pun, kami perlu terima dan reda,” katanya.

Terdahulu, Norzalifa dan suami, Norazlan Tajuddin, 37, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah yang menyampaikan sumbangan mewakili kerajaan negeri.

Turut hadir menyantuni keluarga berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.12 pagi semalam di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, motosikal Honda EX5 ditunggang Ahmad Zuhal, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya