Aliran trafik jalan utama di Terengganu lancar - Utusan Malaysia

Aliran trafik jalan utama di Terengganu lancar

SEBAHAGIAN daripada kenderaan yang melalui susur keluar di Plaza Tol LPT2 Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Aliran trafik di jalan-jalan utama memasuki Terengganu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar meskipun jumlah kenderaan meningkat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dianggarkan lebih 129,000 buah kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 di negeri itu sejak tiga hari lalu.

Menurut beliau, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara pada musim perayaan berbanding hanya 15,000 sehingga 20,000 buah kenderaan pada hari biasa.

Katanya, penugasan lebih 200 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut membantu melancarkan aliran dan penyuraian trafik.

“Walaupun berlaku kesesakan di beberapa laluan utama memasuki Terengganu seperti di lebuh raya dan jalan Persekutuan di Setiu serta Besut, pergerakan trafik setakat ini berjalan lancar.

“Dianggarkan 129,000 buah kenderaan telah menggunakan LPT2 di Terengganu sejak 6 April bagi pulang ke destinasi masing-masing termasuk menuju ke Kelantan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi lain akan terus memantau perkembangan semasa terutama dalam tempoh Op Selamat sehingga 14 April ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik serta memandu secara berhemah dan bertimbang rasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu tinjauan di susur keluar LPT2 Kuala Terengganu dekat Kampung Gemuruh hari ini mendapati aliran lalu lintas lancar dengan masih ada perantau pulang ke kampung pada saat akhir.

Mohd. Roslan Mohd. Noor, 47, dari Seri Damansara, Kepong, Selangor berkata, aliran lancar di sepanjang laluan Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK), LPT dan LPT2 walaupun bilangan kenderaan bertambah.

Menurut pensyarah universiti awam itu, dia hanya memerlukan tiga jam dari Plaza Tol Karak menuju Kuala Terengganu berbanding enam atau tujuh jam pada waktu puncak musim perayaan.

“Kemudahan tol percuma juga mungkin membantu melicinkan aliran trafik selain perantau yang sudah pulang lebih awal dan saya lega tidak perlu trauma menghadap kesesakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya