KUALA NERUS: Ahli UMNO menyokong tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani afidavit tambahan bagi menyokong petisyen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berhubung dengan kewujudan titah adendum tahanan rumah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ahli UMNO berbangga dengan tindakan Ahmad Zahid demi memastikan bekas Perdana Menteri, Datuk.Seri Najib Tun Razak mendapat pembelaan sewajarnya.
Malah, katanya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berani merisikokan kedudukan dan diri demi perjuangan untuk Najib.
“UMNO akan tetap terus melakukan yang terbaik sehingga kita mendapat keadilan untuk bekas Perdana Menteri (Najib),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini, hari ini.
Beliau mengulas afidavit memaklumkan kewujudan Titah Adendum berkenaan yang dikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu.
Utusan Malaysia pada pada 18 April lalu melaporkan Ahmad Zahid mengesahkan melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.
Bung Radin berkata, beliau juga difahamkan Tengku Zafrul juga akan menambah baik afidavit yang bakal dikemukakan di mahkamah kelak.
Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu meminta semua ahli UMNO agar bersabar menunggu keputusan mahkamah terhadap permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut. – UTUSAN










