ADUN pembangkang Selangor terima peruntukan 1 Mac lalu - Utusan Malaysia

ADUN pembangkang Selangor terima peruntukan 1 Mac lalu

Peruntukan ADUN
NURUL Syazwani Noh menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada penerima pada program Sumbangan Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang itu dekat Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kesemua 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor telah menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bermula 1 Mac lalu.

ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, peruntukan yang pada mulanya berjumlah RM300,000 itu dinaikkan kepada RM400,000 setahun.

“Namun, peruntukan yang disalurkan ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) itu hanya melibatkan projek berskala kecil untuk kepentingan rakyat.

“Peruntukan ini tidak boleh digunakan untuk politik, sebaliknya hanya untuk program sama rakyat yang tidak melibatkan sumbangan tunai,” katanya ketika ditemui pada program Sumbangan Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim DUN Permatang, hari ini.

Jelas beliau, peruntukan itu dapat membantu ADUN pembangkang memohon peruntukan bagi kegunaan rakyat di kawasan tersebut.

“Justeru, politik matang yang diamalkan itu amat baik supaya semua rakyat dibantu tanpa mengira ideologi politik. Pada waktu ini, semua pihak perlu mengamalkan politik lebih terbuka termasuk saya sendiri yang turut menghadiri program dianjurkan kerajaan,” ujarnya.

Tambah Nurul Syazwani, trend berpolitik dahulu mungkin berbeza dengan masa kini selain tidak memerlukan wakil rakyat untuk beralih sokongan semata-mata mahu peruntukan.

“Kalau kita terpaksa menukar sokongan dan sebagainya, saya rasa itu hanyalah alasan peribadi masing-masing. Bagi saya, kita akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa dan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan Selangor ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN