99.3% rakyat Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit - Utusan Malaysia

99.3% rakyat Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit

SEBANYAK 99.3 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit atau telefon pintar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 99.3 peratus isi rumah di negara ini mempunyai akses kepada telefon bimbit dan dari segi penggunaan telefon, sebanyak 97.6 peratus memilih telefon
pintar manakala 16.3 peratus daripada isi rumah masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, mengikut statistik tahun lalu, capaian isi rumah ke atas internet dan komputer masing-masing merekodkan 96.4 peratus dan 91.6 peratus.

Ujarnya, televisyen berbayar pula merekodkan capaian sebanyak 77 peratus, manakala capaian telefon talian tetap semakin tidak popular dalam kalangan isi rumah iaitu dengan hanya 27.4 peratus.

“Dapatan survei menunjukkan capaian Internet melalui jalur lebar mudah alih (95.3 peratus) terus menjadi pilihan isi rumah Malaysia berbanding jalur lebar tetap (47.1 peratus).

“Dari sudut lokaliti, sebanyak 98.4 peratus isi rumah di bandar mempunyai capaian internet, sementara di kawasan luar bandar hanya merekodkan 89.8 peratus,” menurutnya dalam Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023.

Menurut beliau, survei ini turut membentangkan penggunaan perkhidmatan dan peralatan ICT oleh individu dan berdasarkan penemuan survei, penggunaan komputer oleh individu merekodkan sebanyak 80.4 peratus pada 2023.

“Penggunaan komputer merangkumi penggunaan semua jenis komputer iaitu komputer peribadi, komputer riba atau papan elektronik mudah alih. Penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan sebanyak 86 peratus manakala di kawasan luar bandar adalah 63.6 peratus.

“Lima aktiviti menunjukkan peratus tertinggi penggunaan ICT pada 2023 iaitu aktiviti menyalin atau memindahkan fail atau folder (97.5 peratus).

“Ini diikuti aktiviti menggunakan teknik menyalin dan menampal untuk pendua atau memindahkan maklumat di dalam satu dokumen (96.7 peratus), menghantar e-mel beserta fail (89.9 peratus), memindahkan fail di antara komputer dan peranti mudah alih lain (83.5 peratus) serta menghubungkan dan memasang peranti baru (79.4 peratus),” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, kemahiran yang lebih teknikal seperti aktiviti menggunakan teknik aritmetik asas di dalam lembaran kerja dan menulis program komputer menggunakan bahasa pengaturcaraan yang khusus masih hanya merekodkan masing-masing sebanyak 67.7 peratus dan 23.9 peratus.

“Penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat Malaysia kekal tinggi pada 97.7 peratus. Aktiviti penggunaan Internet yang paling popular pada tahun lalu adalah menyertai rangkaian sosial iaitu 99.4 peratus, diikuti aktiviti memuat turun gambar, filem, video atau muzik; bermain atau memuat turun permainan (93.9 peratus) dan mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (92.8 peratus).

“Di samping itu, peratusan untuk mendapatkan maklumat secara atas talian terus mendapat sambutan di mana bagi aktiviti e-kesihatan seperti mendapatkan maklumat kesihatan mencapai 62.9 peratus manakala untuk aktiviti e-kerajaan seperti mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan mencapai 55.4 peratus.

“Selain itu, sebanyak 70.6 peratus masyarakat Malaysia telah membuat aktiviti pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang dan sebanyak 75.2 peratus telah menggunakan perbankan internet pada 2023,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN