PETALING JAYA: Seramai 90 pemain remaja antarabangsa dan tempatan bakal beraksi dalam Kejohanan Golf Jemputan Remaja Ke-9 (JIGC) di Kelab Golf Royal Selangor (RSGC) pada 14 hingga 16 Mei ini.
Pengerusi RSGC, Ezani Abu Bakar berkata, JIGC merupakan satu mercu tanda bagi mencungkil bakat baharu sukan golf dan bakal melahirkan pemain muda di Asia dan dunia.
Katanya, JIGC juga bekerjasama bersama Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) bagi melahirkan pemain golf amatur remaja terbaik dari Malaysia dan serantau.
“Kejohanan itu akan disertai oleh 19 pemain remaja kebangsaan daripada program pembangunan Persatuan Golf Malaysia (MGA), enam remaja yang mengungguli tempat di Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).
“Kejohanan kali ini juga dijangka sengit dengan peserta-peserta dari Australia, Britain, India, Indonesia, Korea, dan tentunya Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di RSGC semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Agung MGA, Datuk Zulkifli Ismail dan Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan.
Terdahulu, misi SportExcel adalah untuk mendorong kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik sehaluan dengan komitmen RSGC untuk melahirkan generasi pemain-pemain muda yang bakal menerajui kejuaraan golf di rantau asia dan dunia.
Ezani yang juga merupakan penganjur JIGC berkata, pihaknya berbesar hati dapat meneruskan kolaborasi bersama SportExcel bagi penganjuran JIGC untuk kali kesembilan.
“Ini adalah tahun ke-9 kejohanan tahunan dan adalah satu-satunya acara khas untuk kami kerana ini adalah kolaborasi kedua kami dengan SportExcel, badan rasmi yang menyokong dan mempromosikan golf remaja di Malaysia,” ujarnya.
Penyertaan ditutup pada hari Jumaat, 3 Mei 2024. Pemain golf remaja yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kejohanan tersebut boleh melawat ke laman web: http://jao.thersgc.com. – UTUSAN










