KUALA SELANGOR: Lebih 800 pesawah di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini mendesak kerajaan supaya menaikkan harga lantai padi dari RM1,350 kepada RM1,600 bagi setiap tan metrik.
Selain itu, mereka menuntut penetapan potongan pemutuan padi pada kadar 17 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.
Pesawah, Arbany Katimin, 67, berkata dua tuntutan itu perlu bagi membela nasib mereka yang terjejas teruk pendapatan pada musim penanaman kali ini.
“Harga belian padi kini amat rendah dan isu pemutuan tinggi nyata membebankan kami sedangkan padi yang dijual kepada pengilang berkualiti.
“Saya merayu kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya bagi menaikkan harga belian dan pemutuan padi pada kadar munasabah,” katanya ketika ditemui selepas bantahan aman bersama 50 pesawah lain di kampung itu, petang semalam.
Bagi Zakaria Ahmad, 56, harga belian dan permutuan padi di Sawah Sempadan didakwa tidak sama dengan beberapa kawasan berhampiran.
“Harga belian padi di kawasan ini jauh lebih rendah berbanding di Sungai Burong dan daerah Sabak Bernam. Pesawah mahu penjelasan daripada kerajaan kerana perkara ini selalu dihadapi sedangkan kami menghasilkan padi daripada benih sah sama seperti di tempat lain,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan didesak untuk mengawal harga padi bagi melindungi golongan pesawah.
“Kawasan tanaman padi Sawah Sempadan seluas 2,500 hektar itu kerap menjadi mangsa dan Bernas (Syarikat Padiberas Nasional Berhad) perlu memantau syarikat swasta yang terlibat dalam pembelian padi itu.
“Langkah seumpama itu diharap dapat membantu menjaga kestabilan harga padi di pasaran tempatan,” katanya
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kerajaan Selangor turut digesa turun padang bagi melihat sendiri masalah dihadapi pesawah di kawasan itu.
“Kerajaan negeri pada Belanjawan 2024 memberi jaminan untuk menjadikan kawasan Tanjong Karang dan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan.
“Pesawah tertekan kerana sudah lebih dua musim pengeluaran padi berdepan masalah sama dan berharap ia segera diselesaikan,” katanya. – UTUSAN










