300 pek makanan untuk asnaf dan golongan memerlukan di Perlis - Utusan Malaysia

300 pek makanan untuk asnaf dan golongan memerlukan di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis sumbangan pek makanan di Masjid Al-Mursyid, Guring, Pauh, Arau baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebanyak 300 pek makanan disampaikan oleh Helping Hand For Relief Development (HHRD-USA) dengan kerjasama Yayasan Muallaf Malaysia (YMM) kepada para asnaf dan golongan memerlukan di negeri ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi YMM, Shila Lama Abdullah kepada Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dalam satu majlis di Masjid Al-Mursyid, Guring, Pauh baru-baru ini.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Shila Lama dalam ucapannya melahirkan setinggi penghargaan kepada pihak HHRD-USA yang telah bermurah hati menyalurkan sumbangan dengan kerjasama YMM yang mendapat bantuan dan sokongan padu daripada MAIPs dalam mengenalpasti mereka yang berkeperluan.

Selain mengagihkan bantuan kepada warga asnaf di sekitar Perlis, sumbangan berkenaan turut disalurkan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia yang berkeperluan dengan kerjasama pihak Briged Ke-30 Infantri Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd Nazim turut berharap sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban mereka yang disantuni.

“MAIPs sentiasa mengalu-alukan sumbangan yang disampaikan oleh pelbagai pihak yang sentiasa bermurah hati menghulurkan bantuan sama ada melalui sumbangan zakat, wakaf dan sumber am melalui MAIPs.

“Sudah pasti sumbangan ini amat bermakna kepada mereka yang memerlukan,” kata beliau.

HHRD-USA yang berpengkalan di Amerika Syarikat ditubuhkan pada tahun 2005 merupakan sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan global yang bertindak balas terhadap penderitaan manusia dalam situasi kecemasan dan bencana di seluruh dunia tanpa mengira kaum, jantina, etnik, kelas, lokasi, agama, warna kulit, kepelbagaian budaya dan latar belakang sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya