1MDB: Bugatti Veyron antara 50 kenderaan mewah disiasat SPRM

1MDB: Bugatti Veyron antara 50 kenderaan mewah disiasat SPRM

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rampasan empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich, Jerman adalah antara 50 kereta mewah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika itu agensi berkenaan menghantar permohonan Bantuan Per­undangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat berhubung aset beku berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, permohonan MLA dihantar kepada pihak ber­kuasa Switzerland sekitar November 2020.

“Ia diikuti mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB pada 2021.

“Selanjutnya, satu mesyuarat dengan OAG diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut pada Mac 2022,” katanya di sini semalam.

Kata beliau, sehubungan itu, SPRM juga telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di Jerman pada 26 Oktober 2022.

“Dalam perkembangan terbaharu ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman,” jelasnya.

Terdahulu, polis Jerman dipercayai merampas empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich yang dikaitkan sebagai sebahagian daripada siasatan skandal kewangan 1MDB.

Akhbar Jerman Bild me­laporkan, empat kereta super yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dirampas daripada kemudahan simpanan persendirian.

Kenderaan berkenaan dikatakan sebahagian daripada siri ‘Legenda’ khas Bugatti Veyron, dengan hanya 18 daripada supercar tersebut dibina dalam enam spesifikasi.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).

Kereta itu jarang dijual dan lazimnya tidak dijual di lelo­ngan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih, menurut Jerman Bild.

Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM sedang meneliti maklumat mengenai empat kereta model Bugatti Veyron yang dirampas tersebut.

Difahamkan, kedua-dua agensi itu ketika ini sedang bekerjasama rapat termasuk berkongsi maklumat mengenai rampasan kenderaan mewah itu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Apa juga bantuan dikehendaki PDRM akan sedia membantu,” katanya ketika dihubungi.

Skandal 1MDB melibatkan personaliti daripada ahli politik dan bank sehinggalah bintang Hollywood dan telah membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.

Pada 2021, SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya me­mulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Tahun lalu, SPRM memperoleh semula RM23.9 juta wang hasil daripada proses pemulihan aset 1MDB dari Ogos 2023 sehingga hingga 5 Februari.

Agensi antirasuah itu dalam kenyataan memaklumkan wang dan aset berkenaan diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela daripada lima individu, termasuk RM4.55 juta daripada Amhari Effendi iaitu bekas pegawai Najib Razak.

Pada Mac 2023, Azam kemudian mengesahkan kerajaan sudah mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN