IPOH: Suasana pilu menyelubungi negara yang meratapi perjalanan terakhir 10 wira negara yang terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas di Lumut semalam apabila dibawa lokasi pengebumian seperti yang diminta oleh ahli keluarga masing-masing dari negeri ini.
Surau Salahuddin Al Ayubi di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun di sini menjadi lokasi terakhir lapan jenazah mangsa yang beragama Islam berada di bumi Perak apabila disolatkan di situ, sebelum van jenazah bergerak ke lokasi pengebumian.
Sebelum dikebumikan, penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban itu telah dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut.
Terdahulu, suasana suram menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semasa bedah siasat dan pengurusan semua jenazah mangsa untuk proses pengebumian, apabila waris dan keluarga mangsa datang sejak malam semalam lagi.
Proses bedah siasat dan pengurusan jenazah selesai pada pukul 2.20 petang sebelum jenazah 10 pegawai dan anggota TLDM dibawa keluar satu persatu dari HRPB pada pukul 4.35 petang.
Lapan daripada 10 jenazah beragama Islam dibawa ke Surau Salahuddin Al Ayubi di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tambun untuk solat jenazah.
Setelah selesai solat jenazah di kem di Jalan Tambun itu, lapan kenderaan membawa setiap jenazah digerakkan ke lokasi seterusnya untuk pengebumian.
Orang ramai memenuhi bahu jalan di hadapan kem tersebut sebaik sahaja mendapat tahu jenazah disolatkan di surau di dalam kem tersebut ketika pihak media tidak dibenarkan memasuki kem untuk membuat liputan.
Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam tragedi semalam ketika raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 di Kem TLDM Lumut, dikebumikan di Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, KL-Karak di Kuala Lumpur; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi di Senawang manakala jenazah Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun dikebumikan di Sik, Kedah.
Jenazah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy di semadikan di Selama, Perak; jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar di Yan, Kedah; jenazah Komander Muhamad Amir Mohamad dikebumikan Segamat, Johor manakala jenazah Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd. Termizi dikebumikan di Lekir, Sitiawan.
Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T. Sivasutan dibawa ke kediamannya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia Anak Rohna pula dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini untuk diterbangkan ke Serian, Sarawak.
Penerbangan membawa jenazah Joanna Felicia menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kesemua jenazah dan mayat mendiang akan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di lokasi pengebumian mengikut permintaan keluarga masing-masing.
Terdahulu, beberapa kenderaan membawa orang kenamaan tiba di Jabatan Forensik HRPB bagi memberi penghormatan terakhir kepada wira negara yang terkorban dalam nahas tersebut.
Antara yang hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Dalam pada itu, sebahagian ahli keluarga mangsa terlebih dahulu meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik dan menuju ke Kem 23 RAMD untuk solat jenazah.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi semalam, 10 pegawai dan anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter dinaiki mereka bertembung ketika menjalani raptai sambutan Hari Ulang Tahun dan Perbarisan TLDM ke-90 di Lumut.
Insiden tersebut melibatkan tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan semua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. – UTUSAN










