PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM50,000 di sekitar Kuching, Sarawak bagi membantu sesi persekolahan yang bakal bermula 11 Mac ini.
Bantuan melibatkan 500 murid di sekitar bandar raya itu adalah terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah dalam kalangan kalangan asnaf dan keluarga B40 dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Kebajikan Bank Negara Kuching.
Simbolik replika cek bantuan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Institut Dewan Kampung Malaysia Jaya, Petra Jaya, Kuching.
Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, bantuan itu secara tidak langsung dapat meringankan ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baharu.
“Saya amat menyokong inisiatif bagi membantu mereka yang memerlukan dan semoga bantuan ini akan membantu lebih ramai pelajar di masa akan datang,” katanya di dalam majlis itu.
Dalam pada itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, jumlah bantuan yang disalurkan kepada murid-murid itu adalah kecil namun diharapkan memberi sedikit kegembiraan dan sebagai tanda kasih sayang dan ingatannya kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Semoga bantuan ini menjadi pencetus untuk murid-murid merasa seronok untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata sama seperti yang lain,” tambah beliau lagi.
Bagi 2023, seramai 10,726 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.75 juta yang melibatkan 31 lokasi. – UTUSAN










