KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,350 keluarga kurang bernasib baik di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang telah menerima sumbangan barangan makanan asas daripada Yayasan Petronas pada Ramadan kali ini.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, setiap keluarga terpilih menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, gula dan tepung gandum.
Menurutnya, keluarga tersebut juga turut menerima barangan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang
“Ini adalah antara inisiatif berterusan Yayasan Petronas bagi membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan sambutan bulan Ramadan dan kelengkapan Aidilfitri untuk mereka bersama anak-anak tersayang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini malam tadi.
Di Terengganu, sebanyak 400 keluarga B40 di Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun dan Besut menerima sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah terbabit.
Selain itu, sumbangan tersebut juga akan diberikan kepada 550 keluarga di Kelantan dan 400 keluarga di Pahang selepas ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata,kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutama pada musim perayaan.
“Jadi kami berharap agar sumbangan ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan disamping membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang bakal tiba.
“Kita juga menyampaikan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan Petronas bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan industri kecil dan sederhana,” katanya. – UTUSAN










