LUMUT: Seorang lelaki yang disyaki membunuh abang dan kakak iparnya kerana berebut harta kelmarin, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Majistret T. Kavita membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Seri Manjung untuk mereman suspek yang berusia 61 tahun sehingga 12 Mac ini.
Dia direman bagi membantu polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kebenaran mereman suspek itu dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri warga emas ditemukan mati dalam kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekatnya.
Kedua-duanya yang berusia 74 tahun ditemukan dalam keadaan cedera parah di bahagian kepala dan muka dipercayai dilibas dengan sabit sawit.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.30 petang.
Lelaki itu memaklumkan bapa saudaranya telah bergaduh dengan abang kandungnya bersama isteri yang juga kakak ipar suspek di sebuah kebun sawit di Pantai Remis.
Menurutnya, kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua mangsa dan suspek.
Difahamkan, suspek adalah adik bongsu daripada enam beradik dan dikatakan tidak berpuas hati berhubung isu tanah. – UTUSAN










